Profil Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri (lahir 16 Januari 1969) merupakan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mantan Ahli Dewan Negara dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan ke-7. Beliau juga adalah pengasas kepada Pondok Moden al-‘Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sebuah institusi hadith baru iaitu Ma’alim al-Sunan li Dirasati al-Sunnah al-Nabawiyyah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kini beliau merupakan anggota Muslim Council of Elders yang dipengerusikan oleh Syeikh Al-Azhar, Dr. Ahmed Al-Tayeb dan anggota Assembly of Muslim Jurists of America.
Beliau dilahirkan di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu pada 16 Januari 1969 dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu (1976-1981). Pendidikannya diteruskan di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang, Kuala Terengganu (1982-1984) sebelum meneruskan pengajiannya dalam peringkat Thanawi di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu (1985-1988). Seterusnya, Datuk Dr. Zulkifli menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Madinah (1989-1993). Tidak hanya berhenti setakat itu, beliau menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Syariah di Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997) di bawah seliaan Syeikh Prof. Dr. Mustafa al-Khin. Pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) pula diambil di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (School of Humanities), Universiti Sains Malaysia (2002-2004) di bawah seliaan Prof. Dr. Radzi Othman. Tajuk kajiannya adalah Institusi Mufti Dan Fatwa: Satu Analisa Terhadap Enakmen Dan Beberapa Fatwa Pilihan Negeri Sembilan.
Kehidupan beliau semasa menyambung pengajian di Madinah dan Syria dimanfaatkan secara keseluruhannya untuk mempelajari ilmu-ilmu secara formal mahupun tidak formal. Selain kelas-kelas formal di Universiti, beliau juga giat mengikuti pengajian para ulama’ tersohor di sana secara sistem talaqqi. Antara gurunya adalah Syeikh Muhammad Ali al-Thani, Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad, Syeikh Rusdi Bin Salim Qalam, Syeikh Dr. Muhammad al-Mukhtar bin Muhammad al-Amin Al-Shanqiti, Syeikh Sadiq Habannakah, Syeikh Al-Muhaddith Abdul Qadir Al-Arnaut, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abd Latif Soleh Al-Farfour, Syeikh Prof. Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Bouti dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhayli
Sehingga kini, beliau telah menulis lebih 300 buah buku meliputi pelbagai bidang dalam Pengajian Islam. Pengalaman luas beliau dalam pengurusan dan pentadbiran institusi kefatwaan, membolehkan beliau melakarkan siri-siri kejayaan semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan sepanjang 2014 – 2017 dan Menteri dalam Kabinet Malaysia pada 2020-2021.