Skip to content

#36 Status Air Liur Basi

Posted on:December 9, 2023 at 07:36 AM

SOALAN

Apakah hukum air liur yang keluar ketika tidur dan ia terkena pada baju. Adakah ia dianggap sebagai najis?

JAWAPAN

Asal bagi air liur yang keluar dari mulut seorang manusia adalah suci. Dalam yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha. Kata beliau:

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ

Maksudnya: “Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi saw lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.”

Riwayat Muslim (453)

Pun begitu, terdapat perinciannya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini: “Jika berasal dari perut, seperti keluar dengan bau yang bacin dengan warna kuning maka hukumnya najis. Tidak dikira najis jika berasal daripada selain perut. Atau jika syak samada air liur yang keluar berasal dari perut atau bukan, maka ia dikira suci.” (Lihat Mughnī al-Muḥtāj, 1/79).

Bagaimana untuk membezakannya? Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam Abu Muhammad al-Juwaini: “Jika ia mengalir dari mulut sejak mula tidur dan basah serta terputus sepanjang dia tidur dan kering bibir dan bantalnya, maka ia adalah dari mulut, bukan daripada perut. Manakala jika sepanjang dia tidur dia merasakan basah sentiasa maka zahirnya ia dari perut. Namun sekiranya menimbulkan keraguan, sebagai langkah berhati-hati, basuhlah ia.” (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 2/551-552).

Imam al-Nawawi mengulas pandangan Imam Abu Muhamad al-Juwaini dengan menyatakan: “Aku telah bertanya dengan beberapa doktor perubatan yang adil. Mereka menafikan adanya air liur keluar daripada perut, dan mereka juga menolak sesiapa yang mewajibkan membasuhnya. Pandangan yang terpilih ialah tidak wajib membasuhnya melainkan jika telah dipastikan ia keluar dari perut. Apabila syak, maka tidak wajib membasuhnya, tetapi sunat sebagai langkah berhati-hati, sekiranya jika kita hukumkan ia sebagai najis, tetapi ia ia termasuk di dalam perkara umum al-balwa (sukar dielakkan), maka yang zahir ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan sepertimana darah serangga, kencing tidak lawas, istihadhah dan seumpamanya yang termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana kesukaran.” (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 2/551-552).

Melalui kajian sains, kita tahu bahawa perut tidak menghasilkan air liur tetapi asid. Campuran air liur dan asid yang naik ke kerongkong itulah yang menyebabkan pedih tekak, pedih ulu hati, mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, dan rasa masam. Ia mungkin berkait rapat dengan Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). Itulah yang dimaksudkan para ulama’ kita dengan air liur “daripada perut” yang bernajis. Manakala air liur yang keluar daripada mulut, yakni tanpa sebarang petanda yang saya sebutkan, ia suci. Pun begitu, sunat membasuh pakaian yang terkena air liur semasa tidur. Jika terlupa, ia dimaafkan. Wallahu a”lam.