Skip to content

S:209 Wakaf Harta Intelek

Posted on:December 25, 2023 at 03:38 AM

Soalan

Adakah dibolehkan untuk mewakafkan harta intelek seperti hak cipta terpelihara, design dan yang lain-lain?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran : 92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat reda Allah SWT dan RasulNya. (Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496)

Dalam satu hadith Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.”

Riwayat al-Bukhari (2769)

Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.”

Harta Intelek bermaksud apa-apa yang berkaitan dengan hakcipta, paten, rekabentuk perindustrian, disk optik dan cap dagangan[1]

Jenis-jenis Harta Intelek[2]:

Harta-harta seperti ini dikira bernilai disisi hukum syarak. Maka hukum untuk mewakafkan harta intelek seperti ini adalah DIBOLEHKAN DAN DIGALAKKAN demi maslahah dan kemajuan umat Islam.

Di sini kami nyatakan juga fatwa-fatwa yang terdahulu yang berkaitan dengan isu harta intelek :

Menurut keputusan persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang Kelima tahun 1409H/ 1988M. Perbincangan tentang al-Huquq al-Ma’nawiyyah, Harta intelek seperti yang dinyatakan di atas mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri dan diakui orang sebagai satu bentuk kekayaan. Justeru harta-harta seperti ini dikira sebagai hak khusus kepada pemiliknya. Oleh kerana itu, hak-hak seperti itu tidak boleh dilanggar. [3]

Pendapat ulama’ berkenaan harta intelek :

Dr. Fathi al-Duraini menyatakan: Majoriti ulama’ mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa hak cipta atas ciptaan yang sebenar dan bermanfaat adalah termasuk dalam harta yang berharga sepertimana benda yang boleh dimanfaatkan secara Syarak (hukum Islam). (Lihat Haqq al-Ibtikar fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran hlm. 20)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Harta intelek seperti karyaan buku adalah sesuatu yang dilindungi oleh syara. Justeru mencetak atau mengeluarakan mana-mana bahagian dari karyaan tersebut dikira sebagai satu perlanggaran atau kejahatan kepada pihak pengarang. Dalam bahasa mudah bahawa perbuatan tersebut adalah satu maksiat yang menimbulkan dosa kepada pelakunya yang membawa kepada keharusan ganti rugi terhadap hak pengarang. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2862)

Kesimpulan

Dalam isu ini, kami berpandangan dibolehkan untuk mewakafkan harta intelek seperti yang telah dinyatakan. Hal ini kerana, amalan wakaf ini mampu untuk membangunkan sosio-ekonomi umat Islam pada hari ini kepada taraf yang lebih baik. Namun begitu, pihak pengurusan wakaf yang terbabit haruslah merangka dengan sebaiknya perjalanan wakaf harta intelek tersebut agar harta tersebut tidak disalah guna dan disia-siakan. Seterusnya, pihak kami amat menghargai amalan wakaf yang akan dilaksanakan ini dan mengharapkan sesuatu impak yang positif mampu dibawa dengan terlaksananya wakaf harta intelek tersebut.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

[4] Lihat: https://www.myipo.gov.my/ms/kenali-myipo/

[5] Lihat: http://www.myipo.gov.my/

[6] Lihat: https://iifa-aifi.org/ar/1757.html