Skip to content

S:244 Lebihan Air yang Dijilat Kucing

Posted on:December 25, 2023 at 04:47 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum air yang telah dijilat oleh kucing? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Al-Sa‘di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) pula adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 447)

Definisi kucing

Kucing ialah sejenis binatang yang kecil, berbulu lembut dan tebal, dipelihara sebagai binatang kesayangan, biasanya untuk menangkap tikus.[1] Di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kucing ialah haiwan kesayangan kegemaran manusia di seluruh dunia. Kucing adalah pintar dan mempunyai sifat berdikari. Haiwan kecil ini juga suka bermain-main dan menghiburkan. Banyak kucing dijadikan haiwan kesayangan yang penyayang, setia, dan menjadi teman bagi manusia semua peringkat umur. Perkataan kucing juga merujuk kepada famili haiwan pemakan daging yang termasuk harimau, singa, harimau bintang dan harimau kumbang. Famili ini juga termasuk kucing bela jinak — iaitu kucing yang dibela sebagai haiwan kesayangan.

Kucing berbeza-beza wataknya dan ciri fizikal tertentu, seperti panjang dan warna bulunya.Terdapat banyak baka kucing. Ciri khas membezakan setiap baka daripada baka yang lain. Antara baka kegemaran ialah kucing Siam, kucing Burma dan kucing Parsi. Tiada siapa yang tahu dengan tepat bila kucing mula dijinakkan. Tetapi sesetengah autoriti percaya bahawa kucing dijinakkan lebih kurang 5000 tahun dahulu. Sepanjang sejarah, manusia menghargai kucing kerana kemahirannya memburu dan membunuh mencit, tikus dan ular. Kucing membantu menjadikan ladang, rumah, dan tempat perniagaan bebas daripada haiwan perosak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 11/520-521)

Kucing ialah haiwan yang suci

Kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Dawud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33)

Terdapat sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda mendekatkan sebekas air kepada seekor kucing sehinggalah ia meminumnya. Kemudian Baginda berwuduk daripada lebihan air tersebut. (Riwayat al-Daraqutni dalam sunannya (218) dan beliau menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan. (Lihat Tanqih al-Tahqiq oleh Ibn ‘Abd al-Hadi, 1/94-95)

Al-Syaukani menyebutkan bahawa berlaku perselisihan dalam kalangan ulama dalam hadith ini pada ‘Abd Rabbih iaitu Abdullah bin Sa‘id al-Maqburi. Selain itu, al-Daraqutni juga ada meriwayatkan hadith Aisyah ini daripada jalur lain, yang di dalamnya terdapat perawi Bernama al-Waqidi. Begitu juga, diriwayatkan daripada jalur-jalur yang lain, yang kesemuanya ada keraguan.

Hadith ini menunjukkan kepada sucinya mulut kucing dan air lebihan yang diminumnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Syafi‘i dan al-Hadi. Manakala Abu Hanifah pula berpendapat, ia adalah najis sepertimana binatang buas. Akan tetapi diberi keringanan (rukhsah) padanya, maka air lebihan yang diminum oleh kucing hukumnya adalah makruh — untuk digunakan,[8] dan tidak makruh menggunakannya sekiranya tidak ada air lain. (Lihat Nail al-Autar, 1/53; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/269-270)

Walau bagaimanapun, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172)

Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis. (Lihat al-Mughni, 1/39)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa air baki jilatan kucing adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. Lebih-lebih lagi kucing merupakan haiwan yang berkeliaran di sekeliling manusia dan sering dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kucing. Diakses pada 30 Disember 2021.