Soalan
Apakah status ibu saudara susuan? Adakah ianya menjadi mahram? Hal ini kerana saya telah mengambil anak angkat lelaki yang masih bayi, tetapi saya tidak dapat menyusukannya kerana ketiadaan susu. Disebabkan itu, saya berikan kepada adik perempuan saya untuk menyusukan anak angkat saya tersebut? Adakah saya menjadi mahram kepada anak angkat saya disebabkan oleh hubungan ibu saudara susuan? Mohon Pencerahan
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Penyusuan ataupun dalam bahasa arabnya Al-Rada’ (الرّضَاعْ) menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ialah Perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)
Manakala menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada’ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)
Penyusuan yang mencukupi syaratnya akan menyebabkan hubungan kekeluargaan itu akan menjadi mahram. Ini seperti mana firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu”
Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini sepertimana anak yang dilahirkannya. Hal ini sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah RA:
لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”
Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)
Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya, “Penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya (mahram muabbad). Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri”. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 10/23)
Kesan daripada penyusuan itu, hubungan anak susuan dengan ibu susuan dan suaminya serta keturunannya adalah tertakluk kepada dua hukum yang asas, iaitu:
Diharamkan berkahwin diantara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya)
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan: Jika seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya, bayi itu menjadi anak susuannya dan suaminya pula menjadi bapa susuan anak tersebut. Kesan penyusuan ini kepada hubungan kekeluargaan adalah sebagaimana berikut:
Anak susuan haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri. Keturunan ibu susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:
- Saudara perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah ibu susuan.
- Anak perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah saudara susuan.
- Cucu perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
- Ibu kepada susuan kerana dia ialah nenek susuan.
- Seperti keturunan bapa sendiri, keturunan bapa susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:
- Saudara perempuan kepada bapa susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah bapa susuan.
- Anak perempuan kepada bapa susuan, sekalipun dengan isteri yang lain kerana mereka ialah saudara susuan.
- Cucu perempuan kepada bapa susuan, kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
- Ibu kepada bapa susuan, kerana dia ialah nenek susuan.
Ibu susuan dan keturunannya haram berkahwin dengan anak susuan dan keturunannya. Ini kerana jika ibu susuan diandaikan sebagai ibu sendiri kepada anak susuan, sudah tentu mereka semua merupakan keturunan yang haram dikahwini.
Sebagaimana anak susuan tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan ibu susuan kerana dia merupakan saudara susuannya. Begitu juga cucu lelaki susuan daripada anak perempuan ibu susuan bapanya kerana dia merupakan ibu saudara susuan sebelah bapa dan begitulah seterusnya.
Ibu susuan dan keturunannya harus berkahwin dengan ahli keluarga anak susuannya, seperti saudara lelaki, bapa dan bapa saudara sebelah bapa kerana mereka ialah orang asing daripada ibu susuan dan keturunannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/124)
Berdasarkan persoalan di atas, hubungan antara anak angkat lelaki itu dengan saudari adalah ibu saudara susuan sebelah ibu berdasarkan hukum yang ditetapkan oleh syara’. Hubungan ini disebut dengan الخَالَة مِن الرّضَاع, iaitu setiap perempuan yang menyusu bersama dengan ibu kandungnya atau ibu susuannya, atau menyusu daripada salah seorang neneknya. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/34)Hal ini berdalilkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:
اسْتَأْذَنَ عَلَيَّ أَفْلَحُ فَلَمْ آذَنْ لَهُ فَقَالَ أَتَحْتَجِبِينَ مِنِّي وَأَنَا عَمُّكِ، فَقُلْتُ وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ أَرْضَعَتْكِ امْرَأَةُ أَخِي بِلَبَنِ أَخِي، فَقَالَتْ سَأَلْتُ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَدَقَ أَفْلَحُ ائْذَنِي لَهُ
Maksudnya: Aflah meminta izin untuk masuk menemui aku (Aisyah) tetapi aku tidak benarkan. Lalu Aflah menjawab, “Mengapa engkau berhijab daripadaku sedang aku ialah bapa saudaramu? Isteri saudaraku pernah menyusukanmu dengan susu saudaraku!” Kata Aisyah: Lalu aku bertanya Rasulullah SAW hal itu dan dia berkata, “Benar kata Aflah, berikanlah izin dia untuk masuk.”
Riwayat al-Bukhari (2644)
Justeru, hukum antara anak angkat itu dan saudari iaitu ibu saudara susuan adalah mahram dan terpakai hukum hakam mahram seperti aurat, harusnya berkhalwat dan bersentuhan secara kekal. Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam agama ini. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H