Skip to content

S:246 Hutang Mahar Belum Lunas, Tetapi Suami Meninggal Dunia

Posted on:December 25, 2023 at 04:47 AM

Soalan

Apakah hukum suami berhutang untuk membayar mahar kepada isteri namun meninggal dunia sebelum sempat melunaskan mahar kepada isterinya? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Mahar ialah pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan ianya juga dinamakan dengan mas kahwin. (Lihat Kamus Dewan Edisi ke-4, hlm. 975)

Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Syeikh Muhammad Al-Zuhayli menyatakan bahawa Mahar di sisi istilah fiqh pula membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. Istilah mahar juga disebut juga dengan al-Sodaaq di dalam kitab-kitab fiqh bahkan terdapat juga nama-nama yang lain diberikan untuk mahar yang mana kesemua istilah tersebut terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/109-110)

Firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.

(Surah al-Nisa’: 4)

Orang yang diperintahkan untuk memberi mas kahwin ini ialah para suami. Begitu juga firman Allah SWT:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajipan.

(Surah al-Nisa’: 24)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: Tidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya.

(Surah al-Baqarah: 236)

Manakala, dalil daripada sunnah pula menyatakan tentang mahar adalah sebaimana hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA, katanya:

أَتَتِ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا لِى فِى النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ زَوِّجْنِيهَا. قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا. قَالَ لاَ أَجِدُ. قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ. فَاعْتَلَّ لَه. فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itu menjawab: “Dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: “Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?” Dia menjawab: “Ada begian-begian.” Baginda pun bersabda: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan mengajarkannya ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal.”

Riwayat al-Bukhari (4741)

Dari sudut ijma’ pula, para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa mas kahwin adalah wajib tanpa seorang pun yang menafikannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/583-585)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah (11/210) dinyatakan bahawa Majoriti Fuqaha’ menyatakan bahawa hak untuk menguruskan harta yang ditinggalkan oleh si mati adalah 4 perkara:

  1. Pengurusan jenazah
  2. Hutang
  3. Wasiat
  4. Faraid

Berdasarkan persoalan di atas, hutang merupakan perkara yang mesti diselesaikan sebelum harta itu di bahagikan melalui wasiat dan juga faraid. Apatah lagi sekiranya hutang itu melibatkan kewajipannya sebagai suami untuk memberikan mahar kepada isterinya. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ali RA, katanya:

 إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ

Maksudnya: Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).

Riwayat al-Tirmizi (2094)

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa selepas berlaku kematian maka harta suami sebelum difaraidkan hendaklah diambil untuk pelaksanaan pembayaran mahar yang masih belum dibayar. Itu adalah hak yang dimiliki oleh isteri berdasarkan nas.

Akhir kata, semoga Allah berikan kepada kita kefahaman yang benar dan tepat dalam urusan beragama. Amin

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H