Skip to content

S:270 Penyusuan Lebih Dua Tahun

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Adakah dibenarkan untuk meneruskan penyusuan pada kanak-kanak lebih 2 tahun?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mengikut Kamus Dewan edisi keempat, penyusuan adalah perihal (perbuatan) menyusui, sedangkan penyusu pula ialah orang yang menyusui. (Lihat Kamus Dewan hlm. 1553)

Penyusuan dikenali dengan ridha’ atau radha’ dan dimaksudkan dengan radh’an, ridha’an, dan radha’an iaitu menghisap susu, ardha’ah dengan maksud menyusu bayi. Pada istilah syarak ialah nama untuk pengaliran susu wanita atau apa yang terhasil daripada susunya dalam perut bayi dengan syarat-syaratnya.

Terdapat definisi yang lain hampir sama dengan definisi di atas. Antara lafaz yang hampir sama dengan radha’ah ialah hadhanah (penjagaan). Hal ini kerana terdapat beberapa keadaan seorang penjaga juga dalam masa yang sama ialah penyusu kepada anak yang dijaga.  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)

Dalil Disyariatkan Penyusuan

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran, antaranya:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertawakkallah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 233)

Al-Qurtubi berkata: “Ini menunjukkan bahawa anak apabila masih menyusu maka ibu berhak dalam hadhanahnya lebih daripada bapa.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi,  3/160)

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani idahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya, kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya, dan berundinglah di antara (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq: 6)

Al-Qurtubi berkata: “Isteri yang diceraikan, maka bagi anak-anak mereka hendaklah bapa-bapa memberi upah atas penyusuan mereka.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/168)

Daripada ayat ini menunjukkan kewajaran ibu untuk menyusukan anaknya, kecuali ulama’ khilaf dari segi siapa yang sepatutnya ditaklifkan sama ada bapa atau ibu.

Rukun-Rukun Penyusuan

Bagi menyebabkan anak susuan dan ibu susuan mengambil hukum mahram terdapat tiga rukun:

  1. Penyusu
  2. Anak yang menyusu
  3. Susu

Maka, berdasarkan soalan, kami fokuskan perbahasan ini kepada syarat ke atas penyusu. Penyusu mestilah seorang manusia, sama ada dia sudah berkahwin atau belum, janda atau dara, muslim atau kafir, berakal waras ataupun gila.

Dan syarat bagi seorang penyusu ialah:

Mazhab Maliki pula tidak mensyaratkan penyusu seorang yang baligh, dan sah (hukum pengharaman antara penyusu dan anak susuan) sekiranya penyusu masih lagi kecil. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/7283)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa ayat 233 Surah al-Baqarah sebagaimana yang dinyatakan di awal perbincangan, bahawa penyusuan anak sehingga 2 tahun genap adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya. Wajib bagi si bapa untuk memberikan upah kepada isterinya, atau bekas isterinya yang melahirkan anaknya, bagi penyusuan tersebut jika dia meminta. Namun wajib ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan al-liba’, iaitu susu yang turun pada awal-awal kelahiran (kolostrum). Hal ini kerana anak itu kebiasaannya tidak dapat hidup tanpanya, dan bahan lain tidak mampu menggantikannya. Bahan lain juga tidak menguatkan anak dan memberikan kekuatan pada perkembangan bayi. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/290)

Imam al-Qurtubi menyatakan: “Dan penambahan atas kadar dua tahun atau berkurangnya adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredhaan kedua ibu bapa.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/162)

Manakala menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah: “Dan harus bagi ibu untuk meneruskan penyusuan selepas dua tahun sehingga separuh tahun ketiga atau lebih daripada itu.” (Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 235)

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahulah menyebut dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh :“Jika berterusan penyusuan selepas dua tahun kerana lemahnya bayi maka tiada halangan untuk itu kerana keperluan. Akan tetapi tidak sabit lagi hukum mahram kerana penyusuan atau tidak boleh lagi bagi ibunya yang ditalak meminta upah.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/7288)

Berdasarkan persoalan di atas, kami menyimpulkan bahawa harus hukumnya bagi ibu untuk meneruskan penyusuan badan kepada kanak-kanak yang berumur lebih 2 tahun dengan syarat: 

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam agama ini. Amin.

Wallahua’lam

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H