Soalan
Apakah tafsir ayat 7 Surah al-Hasyr dan cara penyelesaian untuk golongan miskin oleh mereka yang kaya?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Firman Allah SWT:
...مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ
Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu...[1]
Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: Iaitu, kami menjadikan perbelanjaan bagi harta al-Fai’ (الفَيْءُ) ini (harta yang diambil daripada orang kafir harbi tanpa peperangan) supaya ia tidak dimakan dan dibelanjakan oleh orang-orang kaya sahaja dengan syahwat dan kehendak mereka sehingga mereka tidak memberikan langsung kepada orang-orang faqir.” [2]
Imam al-Tobari menyebut: Allah SWT menyebutkan: dan kami telah menjadikan harta-harta yang Allah kurniakan keatas Rasulnya daripada penduduk negeri ini untuk para asnaf ini (bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir), supaya harta tersebut tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu dan di antara mereka sehingga mereka membelanjakan sekali untuk keperluan diri mereka. Hal ini merupakan pintu-pintu kebaikan dan jalan-jalan kebajikan. Maka mereka menjadikan ianya sebagaimana mereka kehendaki, tetapi kami menetapkan padanya jalan yang tidak boleh ditukar dan tidak boleh digantikan. [3]
Pengarang Tafsir al-Wasit menyebutkan: Al-Dulah : Apa yang berlalu di tangan, kadang-kadang berada di tangan orang ini dan kadang-kadang berada di tangan orang lain ini, Iaitu: ia beredar dalam kalangan orang-orang kaya sehingga tidak dapat dirasai oleh orang-orang Faqir. [4]
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi dalam menerangkan sebab disyariatkan al-Mirath di dalam al-Quran iaitu berkenaan dengan sebab pewarisan harta itu disyariatkan bahawa Allah SWT tidak mengkehendaki sesuatu harta itu hanya berpusing dalam kalangan orang kaya sahaja sehingga mereka tidak memusingkan harta tersebut kepada selain mereka, bahkan Allah mengkehendaki supaya harta itu beredar kepada setiap manusia. Disebabkan itulah disyariatkan al-Mirath. [5]
Beliau juga pernah menyebutkan dengan kata-katanya yang terkenal:
إِذَا رَأَيْتَ فَقِيرًا فِي بِلَادِ الْمُسْلِمِين فَاعْلَم أَنَّ هُنَاكَ غَنِيًّا سَرَقَ مَاله
Maksudnya: Apabila kamu melihat orang faqir di negeri orang Islam maka ketahuilah bahawa terdapat di sana orang kaya yang mencuri bahagian daripada hartanya.
Dalam akhbar bertarikh 18 Januari 2022, antaranya menyebut, seramai 10 lelaki terkaya menggandakan kekayaan mereka walaupun dunia dilanda pandemik Covid-19 dan paras kemiskinan dan ketidaksamaan dilaporkan semakin meningkat menurut satu laporan. Menerusi taklimat yang diterbitkan sebelum sidang kemuncak mini pemimpin dunia secara maya sempena Forum Ekonomi Dunia iaitu Oxfam, kekayaan lelaki-lelaki ini melonjak dari 700 Billion Dolar AS kepada 1.5 Trilion Dollar AS, iaitu pada kadar 1.3 Bilion Dollar AS sehari. Oxfam yang merupakan sebuah badan amal yang menumpukan kepada pengurangan kadar kemiskinan berkata, kekayaan bilionair meningkat semasa pandemik berbanding 14 tahun dahulu, ketika kemelesatan ekonomi dunia. Katanya, ia digelar sebagai ketidaksamaan atau ‘keganasan ekonomi’ dan ia juga menyumbang kepada 21,000 kematian setiap hari akibat kekurangan akses kesihatan, keganasan jantina, kebuluran dan perubahan iklim.
Difahamkan pendemik ini menyebabkan 160 juta orang terjerumus dalam kemiskinan dan etnik minoriti bukan kulit putih dan wanita antara golongan paling terkesan semasa ia berlaku. Laporan terbabit menyusuli kajian pada Disember 2021 oleh kumpulan yang mendapati perkongsian kekayaan global meningkat ketara ketika pandemik berlaku. [6]
Dalam sistem negara menurut konsep Islam, negara sebagai pemilik kuasa berhak mengambil sebahagian daripada kekayaan rakyat yang melebihi keperluan hidup mereka sekiranya baitul mal memerlukannya untuk kepentingan umum. Islam menetapkan hak orang miskin terhadap kekayaan orang kaya.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ (24) لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Maksudnya: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).[7]
Imam al-Nawawi menukilkan pandangan jumhur yang menyatakan bahawa tidak ada harta lain yang berhak dituntut selain zakat, manakala arahan untuk memberikan selain zakat merupakan arahan dalam bentuk tuntutan sunat dan kemuliaan akhlak.
Beliau menyatakan lagi: Sebahagian lagi seperti Al-Sya’bi, al-Hasan, Ta’us, ‘Ata’, Masruq, dan selain daripada mereka berpandangan bahawa setiap daripada harta orang kaya terdapat haq selain daripada zakat, seperti membebaskan orang yang ditawan, memberi makan orang yang kesusahan, menghibur orang yang kesusahan, dan menjaga silaturrahim (persaudaraan keluarga). [8]
Ibn Hazm pula berpendapat, “Semua orang kaya dalam Negara diwajibkan menunaikan hak orang miskin, dan pemerintah boleh memaksa orang kaya berbuat demikian sekiranya baitulmal tidak lagi mampu memenuhi hak keperluan manusia”. [9]
Secara prinsipnya, Islam tidak membenarkan wujudnya ketaksamaan dalam masyarakat, di mana di satu pihak terdapat anggota masyarakat yang melimpah ruah dalam kemewahan, manakala di pihak lain terdapat golongan miskin yang hidup di dalam kesusahan disebabkan musibah, ketidakmampuan dan kefakiran yang mengelilingi mereka.
Antara peranan orang-orang kaya adalah dengan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan kefakiran dengan mendekatkan jurang antara mereka seperti mencipta peluang pekerjaan yang banyak supaya hasil kekayaan mereka dapat dikongsi bersama masyarakat kesemuanya. Bahkan dengan kemuliaan mereka ingin berkongsi dan memudahkan orang lain, pasti Allah SWT akan melimpah ruahkan rezeki-Nya kepada mereka dengan sebab bantuan dan peluang yang mereka berikan kepada orang awam.
Bahkan prinsip Islam tidak membenarkan seseorang itu membiarkan orang disekelilingnya berada di dalam kesusahan. Sebagai contoh, seorang jiran tidak membiarkan jirannya dalam keadaan lapar, sedangkan dia berada dalam kekenyangan sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ المُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ
Maksudnya: Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang berada dalam kekenyangan sedangkan dalam masa yang sama jiran sebelahnya berada dalam kelaparan”[10]
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa besarnya hak jiran ke atas jirannya, serta galakan untuk membantu antara sesama manusia.
Akhir kalam, marilah kita sama-sama berganding bahu, saling tolong menolong dalam perkara kebajikan dan kebaikan berdasarkan petunjuk ilahi dan seterusnya semua masyarakat berasa terbela dan berkecukupan dalam meniti kehidupan yang penuh mencabar ini. Kami yakin dan percaya apabila digabungkan keimanan dan ketakwaan nescaya akan turun pelbagai keberkatan dari langit mahupun bumi. Benarlah firman allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.[11]
Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertaqwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan. Manakala ayat: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) pula bermaksud hujan dari langit dan tanaman dari bumi. [12]
Al-Baidhawi berkata: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) bermaksud Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya juga ialah hujan dan tanam-tanaman. [13]
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
WallahuA'lam
Bertarikh 18 Januari 2022 M bersamaan 15 Jamadil Akhir 1443 H
[1] Surah al-Hasyr: 7
[2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/67
[3] Lihat Tafsir al-Tobari, 22/520
[4] Lihat Tafsir al-Wasit, 10/353
[5] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 6/381
[6] Lihat Akhbar Sinar Harian, Global, hlm. 32 bertarikh 18 Januari 2022
[7] Surah al-Ma'arij: 24-25
[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/71
[9] Lihat al-Muhalla bi al-Athar, 4/281
[10] Riwayat Abu Ya'la (2699) dan al-Baihaqi (20160). Pengarang al-Silsilah al-Sahihah (149) menyatakan hadith ini sahih dengan syawahidnya.
[11] Surah al-A‘raf: 96
[12] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/420
[13] Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294