Skip to content

S:322 Makan Ketam Batu (Stone Crab)

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Sebenarnya, apakah hukum makan ketam batu (stone crab)? Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[1]

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya.[2]

Definisi Ketam Batu (Stone Crab)

Ketam ialah haiwan yang diliputi oleh cengkerang keras dan mempunyai kaki bersendi. Ia hidup di perairan cetek di sepanjang pantai dan juga di perairan dalam. Terdapat lebih kurang 4500 jenis ketam yang berlainan.[3] Kebiasaannya ketam batu (stone crab) merujuk kepada sejenis ketam yang terdapat di Florida. Ia juga boleh ditemui di tengah laut dan perairan pantai dari Belize hingga Carolina Utara. Ketam batu ini terdiri daripada dua spesies iaitu Menippe mercenaria dan M. adina. Walau bagaimanapun, M. adina sering dilihat sebagai subspesies kepada M. mercenaria. Cengkerang keras atau carapace ketam batu adalah kira-kira 4 inci lebar, manakala panjangnya pula adalah kira-kira antara 3 hingga 3.5 inci. Selain itu, carapace ini juga adalah licin, berbentuk bujur dan cembung. Ketam betina mempunyai carapace yang lebih besar berbanding ketam jantan, manakala ketam jantan pula mempunyai penyepit yang lebih besar berbanding ketam betina. Ketam ini hidup di dasar teluk, jeti batu dan terumbu tiram. Ia juga boleh dijumpai di batu kapur dan padang rumpai laut (seagrass beds). Ketam ini suka menggali dan mencari perlindungan daripada pemangsa mereka. Namun anak ketam tidak menghabiskan banyak masa untuk menggali, sebaliknya ia bersembunyi di rumpai laut atau di tengah-tengah batu. Anak ketam pada peringkat larva memakan zooplankton kecil. Kemudian, ia membesar dengan tingkah laku karnivor oportunistik (opportunistic carnivore) tetapi dengan beralih kepada sumber makanan yang lebih besar. Manakala ketam batu dewasa biasanya memakan kima bercengkerang keras, moluska kecil, teritip acorn, conch dan pelbagai jenis krustasia.[4]

Sebelum membahaskan lebih lanjut mengenai perkara ini, kita hendaklah mengetahui bahawa sebahagian ulama silam menamakan ketam di dalam kitab-kitab mereka sebagai kala jengking air (عَقْرَبَ الْمَاءِ) dan ketam itu juga diberi gelaran sebagai Bapa Laut (أَبُو بَحْرٍ).[5]

Haiwan air

Pada asasnya, haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan berada di dalamnya. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama — untuk berada di atas darat.[6] Haiwan air kesemuanya adalah halal untuk dimakan tanpa perlu kepada sembelihan melainkan terdapat nas yang menyatakan sebaliknya atau memudaratkan. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[7]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[8]

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya.[9]

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain.[10]

Hukum Memakan Ketam Batu (Stone Crab)

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat ketam halal dimakan kerana ia tidak dapat hidup lama di atas darat, akan tetapi yang sahihnya — menurut mazhab Syafi‘i — ia adalah haram.[11] Hal ini kerana ia dianggap kotor dan jijik serta padanya ada mudarat (racun).[12]

Selain itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa terdapat satu pendapat yang lemah yang menghalalkan katak dan ketam. Begitu juga, al-Baghawi telah menukilkan daripada al-Halimi mengenai kehalalan ketam. Kemudian, Imam al-Nawawi telah menyimpulkan dengan menyatakan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad ialah semua haiwan di laut, bangkainya adalah halal — yakni untuk dimakan — kecuali katak. Lalu dapat difahami apa yang disebutkan oleh ulama-ulama mazhab Syafi‘i atau sebahagian daripada mereka mengenai keharaman penyu, ular dan nasnas adalah yang berada di dalam air selain air laut.[13] Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman tersebut seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain.

Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya.[14]

Sebahagian ulama yang menghalalkan ketam seperti mazhab Maliki[15] menyebutkan bahawa diharuskan untuk memakan katak, serangga, ketam dan penyu kerana tidak ada nas yang mengharamkannya daripada dimakan. Adapun mengharamkannya kerana ia dianggap haiwan yang jijik dan kotor mestilah dengan apa yang telah dinaskan oleh syarak. Oleh itu, tidak boleh mengharamkan haiwan itu semata-mata ia dianggap jijik dan kotor oleh jiwa, yang mana tidak ada nas mengenai hal tersebut. Mazhab Hanbali pula berpendapat setiap haiwan yang hidup di darat yang mana berasal daripada hidupan laut, tidak halal dimakan melainkan setelah disembelih seperti burung air, penyu, anjing laut, melainkan hidupan yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam sebagaimana pendapat Imam Ahmad.[16]

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ketam termasuk haiwan yang halal dimakan selagimana tiada nas yang jelas mengharamkannya dan tidak memudaratkan kepada pemakannya. Tambahan lagi, apabila kita meneliti pendapat sebahagian ulama yang mengharamkannya, ia diharamkan kerana dua sebab, iaitu kerana memudaratkan (beracun) dan dianggap jijik. Justeru, jika dua sebab ini tiada, maka hukumnya kembali kepada hukum asal iaitu harus. Hal ini adalah sebagaimana kaedah menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّة زَالَ الحُكُم

Maksudnya: “Apabila hilang ‘illahnya (sebabnya), maka tiadalah hukum tersebut”

Lebih-lebih lagi, perkara ini dikuatkan lagi dengan satu pendapat Ibn Qasim yang menyatakan telah berlaku Umum al-Balwa[17] bahawa danilas (sejenis siput) dimakan di Mesir dan ketam dimakan di Syam.[18] Begitulah juga keadaannya di Malaysia, negara kita di mana ketam merupakan haiwan laut yang dimakan oleh masyarakat tempatan dan tidak dianggap sebagai jijik.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa ketam batu (Stone Crab) termasuk dalam haiwan laut yang halal dimakan berdasarkan kepada kemumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut selagimana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan. Selain itu ‘uruf dan adat setempat di negara kita menunjukkan bahawa ketam dimakan dan ia tidak dianggap sebagai haiwan jijik.

Namun, sekiranya ketam batu yang dimaksudkan ialah ketam-ketam kecil yang biasa ditemui di celah-celah batu di kawasan pantai dan seumpamanya, maka kami juga cenderung kepada pendapat yang menghalalkannya sebagaimana ketam-ketam yang lain dengan syarat tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya seperti beracun dan lain-lain.

Alhamdulillah, mutakhir ini, isu makan ketam bukanlah menjadi pelik, ganjil atau asing, tetapi ia sudah menjadi perkara yang umum oleh kebanyakan manusia. Menariknya, walaupun kita berada di bumi Malaysia tetapi zaman kini, kita juga dapat merasa ketam yang berhampiran dengan lautan Artik dan Antartika. Sebagai contoh, ketam Alaska. Justeru, isu seperti ini sudah dterima pakai oleh kebanyakkan masyarakat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-A‘raf : 157

[2] Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381.

[3] Karya terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, Ensiklopedia Dunia, (Malaysia: DBP, Cetakan Pertama, 2005), 11/183.

[4] Lihat https://a-z-animals.com/animals/stone-crab/. Diakses pada 16 November 2021.

[5] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378; Mughni al-Muhtaj, 6/146.

[6] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150.

[7] Surah al-Ma’idah: 96.

[8] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69); al-Nasa’i (59)

[9] Lihat Asna al-Matalib, 1/566.

[10] Lihat al-Umm, 2/130; 2/199.

[11] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378.

[12] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146; Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 4/326; Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/28.

[13] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33.

[14] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549.

[15] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/28.

[16] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799-2800.

[17] sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.

[18] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/147.