Skip to content

S:430 Faraid Untuk Tanah Yang Dicagar

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Abang saya pernah mencagarkan tanahnya,  kemudian keluarga saya cuba bantu untuk tebus semula tanah itu. Tak lama kemudian abang saya meninggal dunia. Adakah tanah itu itu juga perlu difaraidkan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta pusaka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud harta warisan (harta peninggalan si mati)[1]

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Melalui ayat ini, Allah S.W.T jelas menyatakan bahawa setiap waris mempunyai hak ke atas harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat mereka.

Imam al-Tabari menukilkan bahawa Abu Ja’far berkata yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah bagi anak-anak lelaki ada bahagian mereka dari harta warisan tersebut, dan bagi anak-anak perempuan ada bahagian juga dari sumber yang sama, sama ada sedikit atau banyak, bahagian yang difardhukan, wajib, sedia maklum dan juga tertentu ke atas mereka (berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah). (Lihat Tafsir al-Tabari, 7/597)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Begitu juga hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji  menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walaubagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/284-286)

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

(Surah al-Nisa’: 13-14)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘cagar’ bermaksud: “barang yg dijadikan sbg taruhan apabila berhutang, barang yg digadai­kan, rungguh(an)...[2]

Justeru, hukum cagaran atau gadaian perlu merujuk kepada hukum al-rahn. Manakala daripada perspektif syarak, pengertian al-rahnu kami rujuk kepada Kitab Fiqh al-Manhaji:

Istilah gadaian yang merujuk kepada kontrak gadaian bermaksud, menjadikan sesuatu barang yang bernilai sebagai cagaran kepada hutang dan akan digunakan untuk melangsaikan hutang jika hutang tersebut tidak dapat dibayar.

Dengan ini, cagaran wujud melalui kontrak. Oleh itu, pencagar ialah penggadai, penerima cagaran pula ialah pemiutang, barang yang  dicagar ialah barang yang digadai. Barang yang digadai ini merujuk kepada semua perkara yang boleh disukat dan bernilai iaitu barang yang diiktiraf sebagai harta oleh syara’.

Tujuan gadaian adalah sebagai cagaran untuk meyakinkan pemiutang bahawa hutang yang diberikan tidak akan lupus begitu sahaja dan dia yakin akan memperolehinya semula. Oleh itu, barang tersebut dijadikan cagaran kepada hutang. Sekiranya pemiutang mendapati sukar atau mustahil untuk dia mendapatkan semula hutangnya setelah tamat tempoh yang ditetapkan, pemiutang berhak mengambil semula hutangnya melalui barang yang dicagar, iaitu dengan cara menjual dan kemudian mengambil hutangnya melalui bayaran yang diperolehi.” ( Lihat Fiqh al-Manhaji, 4/495)

Berkenaan adakah harga gadaian setelah dilunaskan hutang, perlu difaraidkan, maka keterangan tersebut dirujuk.

“Setelah penggadai melunaskan semua hutangnya, kontrak gadaian tersebut ditamatkan. Dengan ini, penerima gadaian perlu memulangkan semula barang gadaian kepada penggadai. Ini perlu dilakukan tidak kira sama ada pembayaran dibuat sebelum atau pada tarikh pembayaran ditetapkan.

Sekiranya penerima gadaian gagal, cuai atau enggan memulangkannya tanpa sebarang sebab yang munasabah, dia perlu mengambil tanggungjawab terhadap barang tersebut. Dalam keadaan ini, apa yang dilakukannya sama seperti orang yang merampas. Ini kerana dia tidak lagi berhak menyimpan barang tersebut.” (Lihat Fiqh al-Manhaji, 4/536)

Justeru, Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa jika barang gadaian itu adalah milikan penghutang, maka apabila sudah dilangsai hutang, sama ada oleh penghutang sendiri atau orang lain, dan harta sudah dikembalikan, lalu orang berkenaan mati, maka harta gadaian itu perlu difaraidkan. Ini kerana harta wajib difaraidkan itu adalah “setiap harta dan hak yang ditinggalkan oleh si mati.” (Lihat al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/349)

Kesimpulannya, harta gadaian yang telah ditebus hutangnya, meskipun oleh orang lain, perlulah dikembalikan kepada pemilik asalnya. Jika pemilik asal meninggal dunia, maka hendaklah difaraidkan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang mandalam dalam urusan agama.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=harta+pusaka