Skip to content

S:434 Merebus Telur Ayam dengan Air Mutanajjis

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Kadang-kadang saya tidak membasuh telur terlebih dahulu sebelum merebusnya. Apabila sudah merebusnya, baru perasan ada sebahagian telur terdapat najis padanya. Justeru, apakah hukum merebus telur ayam dengan air najis dan adakah telur yang direbus itu halal dimakan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)

Kulit telur dikira sebagai suci

Dalam isu ini, terdapat dua pendapat ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih ialah bahagian luar telur — yakni kulitnya — dianggap sebagai suci jika jatuh ke tempat yang suci sehingga tidak perlu dicuci sebelum dimasak. Hal ini kerana lembapan faraj ayam dikira sebagai suci dan bukannya najis. Akan tetapi jika jatuh ke tempat najis ketika ia keluar atau kulitnya terkena najis, maka ia dianggap sebagai mutanajjis — yakni sesuatu yang terkena najis — dan boleh kembali menjadi suci apabila dibasuh dan dibersihkan bahagian yang terkena najis itu. Kami telah membahaskan perkara ini secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #421 Basuh Telur Ayam.[1]

Air rebusan telur yang terkena najis

Air rebusan telur yang terkena najis dianggap sebagai air mutanajjis. Hal ini kerana air mutanajjis ialah air yang jatuh najis ke dalamnya. Air ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

Pertama: Air yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah. Air ini menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya, sekalipun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

Kedua: Air yang banyak, iaitu yang cukup dua qullah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijmak para ulama. Ibn Munzir menyebutkan bahawa ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/33-35.)

Oleh itu, air rebusan telur yang terkena najis daripada kulit telur dikira sebagai air mutanajjis.

Merebus telur dengan air najis atau mutanajjis

Mengenai perkara ini, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat, jika telur direbus dengan air najis, maka halal untuk memakannya. Ini juga merupakan salah satu pendapat yang marjuh — yakni tidak kuat — dalam kalangan ulama mazhab Maliki kerana pendapat mereka yang rajih — yakni muktamad — ialah tidak halal memakannya disebabkan oleh kenajisannya. Begitu juga kerana terdapat kesukaran bagi membersihkannya disebabkan air najis sudah meresap ke dalamnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah8/267.)

Majoriti ulama berpendapat, tidak mengapa memakan telur yang direbus dengan air najis selagi mana kulitnya masih elok — yakni tidak pecah atau seumpamanya — kerana ia menghalang air najis itu daripada memasukinya. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan dalam Matalib Uli al-Nuha bahawa sesiapa yang menelan suatu jenis kacang seperti kacang hazel berserta kulitnya. Kemudian dia memuntahkannya kembali atau seumpamanya iaitu ia keluar dari mana sekalipun, maka bahagian dalamnya tidak dikira najis disebabkan oleh kuatnya lapisan kulitnya itu sebagaimana telur yang direbus dengan arak atau lain-lain daripada jenis najis. Perkara tersebut tidak akan menajiskan bahagian dalamnya kerana najis itu tidak boleh sampai ke bahagian dalam itu. (Lihat Matalib Uli al-Nuha1/230.)

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan bahawa tidak dihukumkan makruh telur yang direbus dengan air najis. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/156.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa merebus telur dengan air mutanajjis selagi mana kulit telur itu masih elok dan berada dalam keadaan yang asal — yakni tidak pecah atau seumpamanya. Walau bagaimanapun, telur yang sudah direbus itu, mestilah dibasuh terlebih dahulu dengan air bersih bagi menyucikannya sebelum kulitnya dikupas bagi memakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/421-basuh-telur-ayam/.