Skip to content

S:442 Bacaan al-Fatihah Mualaf dalam Solat

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana seorang mualaf yang masih belum menghafal surah al-Fatihah ingin melakukan solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Sabda Nabi SAW:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7)

Maka, apabila seseorang mualaf sudah bergelar Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam.

 

Hukum Bacaan al-Fatihah dalam Solat

Solat mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri yang antaranya merangkumi rukun fi’li (perbuatan), rukun qauli (ucapan) dan rukun qalbi (hati). Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dibaca dalam solat, selain bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat.

Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya“Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya“Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.

Riwayat Muslim (907)

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat." (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang mazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)

Manakala berkenaan bacaan makmum ketika bersama imam, Imam Nawawi menyebut:

وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ

MaksudnyaJumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365)

Imam al-Baijuri ada menjelaskan berkenaan beberapa syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang, antaranya:

Kami nyatakan juga daripada pendapat al-Baijuri, bahawa jika sekiranya tidak mampu membaca apa-apa hatta doa sekalipun, hendaklah dia berdiri seperti biasa sekadar membaca al-Fatihah. (Lihat Hasyiyah al-Baijuri, 1/290)

Keadaan Mualaf Tidak Tahu Baca al-Fatihah dalam Solat

Pada asalnya, dua bacaan yang wajib dibaca dalam solat adalah Surah al-Fatihah, tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Bagi mualaf, kami melihat ada beberapa aturan utama yang boleh diikuti jika belum menghafal Surah al-Fatihah.

  1. Jika sudah boleh membaca tetapi tidak menghafalnya, dibolehkan memegang lampiran kertas yang ada Surah al-Fatihah. Atau disimpan bacaannya dalam telefon pintar, tabdan sebagainya yang mudah dipegang ketika solat.
  2. Jika sudah boleh membacanya tetapi tidak menghafal sepenuhnya, diwajibkan membaca Surah al-Fatihah sekadar kemampuan dan hafalannya dan diulang-ulang.
  3. Jika tidak boleh membaca dan tidak menghafalnya tetapi mampu mengikut bacaan, dicadangkan untuk mualaf terbabit dibantu oleh seorang fasilitator yang boleh membaca Surah al-Fatihah dengan baik.[1]
  4. Jika tidak mampu membaca, menghafal Surah al-Fatihah dan mengikut bacaan fasilitator ataupun tiada fasilitator yang dapat membantu, dibolehkan membaca 7 ayat daripada mana-mana surah dalam al-Qur’an ataupun diulang-ulang ayat al-Qur’an yang sama. Boleh juga digabungkan bacaan sebahagian Surah al-Fatihah dan sebahagian surah-surah lain yang dihafal.
  5. Jika tidak tahu membaca dan tidak menghafalnya, berzikirlah dengan apa-apa sahaja zikir yang telah dihafal. Misalnya (سبحان الله والحمد لله ، ولا إله إلا الله ، والله أكبر ، ولا حول ولا قوة إلا بالله)
  6. Jika tidak tahu membaca, tidak menghafalnya dan tidak tahu apa-apa zikir yang boleh dibaca, maka dia hanya perlu menuruti sahaja imam tanpa perlu membaca apa-apa. Walaubagaimanapun, tetap wajib baginya untuk belajar sehingga mampu membaca dan menghafalnya dengan fasih. (Lihat perbahasan lebih lanjut dalam al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 217; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/255-256; Nihayat al-Muhtaj, 1/484-485; Mughni al-Muhtaj, 1/357-358; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/374)

 

Penutup

Islam itu satu agama yang lengkap, menyeluruh dan sentiasa sesuai dengan kondisi penganutnya. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…”

( Surah al-Taghabun:16)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus mendalami ilmu agama dan menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat sekeliling kita.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

[1] Contohnya, fasilitator berkenaan boleh bersolat dengan menjadi imam / bersolat di sebelah / tidak bersolat dengan menguatkan bacaannya supaya diulangi oleh mualaf. Selain itu, mualaf berkenaan  boleh juga menggunakan sarana teknologi moden seperti alat perakam suara, telefon pintar yang disertakan earphone supaya tidak mengganggu jemaah lain.