Skip to content

S:453 Minum Susu Keldai Jinak

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum meminum susu keldai jinak? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihan-Nya. Bilamana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan-haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya.  Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semula jadi. Adakah ada sesuatu yang secara tabiat semula jadinya boleh menukarkan kotoran yang dimakan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. ( Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 443.)

Keharusan minum susu haiwan

Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW minum susu. Antaranya riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أَهْدَتْ خالَتي إلى النبيِّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ ضِبابًا وأَقِطًا ولَبَنًا، فَوُضِعَ الضَّبُّ على مائِدَتِهِ، فلوْ كانَ حَرامًا لَمْ يُوضَعْ، وشَرِبَ اللَّبَنَ، وأَكَلَ الأقِطَ

Maksudnya: “Ibu saudaraku pernah memberi hadiah kepada Nabi SAW daging dhab, keju dan susu. Kemudian daging dhab tersebut diletakkan di atas hidangan Baginda. Kalaulah daging dhab itu haram, ia tidak akan diletakkan (di situ). Baginda meminum susu dan memakan keju.”

Riwayat al-Bukhari (5402)

Selain itu, dalam satu riwayat daripada Abu Bakar al-Siddiq R.A menyatakan, beliau telah memberikan segelas air susu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminumnya.

Riwayat al-Bukhari (2439)

Minum susu keldai jinak

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa antara sebab pengharaman daging keldai jinak adalah kerana zatnya sendiri dianggap sebagai najis. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A yang menceritakan bahawa pada Hari Khaibar Rasulullah SAW meminta penyerunya untuk menyampaikan kepada manusia:

إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ أَوْ نَجِسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan rasul-Nya melarang kamu semua daripada memakan daging keldai (peliharaan) kerana ia adalah kotor atau najis.”

Riwayat al-Bukhari (4198) dan Muslim (1940)

Oleh sebab itulah, Ibn Qudamah menyatakan bahawa majoriti ulama mengharamkan susu keldai jinak, melainkan ‘Ata’, Tawus dan al-Zuhri. Namun, pendapat yang awal — yakni pendapat majoriti ulama — adalah lebih kuat kerana hukum susu sesuatu haiwan itu adalah mengikut hukum dagingnya. (Lihat al-Mughni, 9/408.)

Begitu juga, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji dan Habib Hasan al-Kaff turut menyebutkan bahawa susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan seperti keldai jinak dan seumpamanya adalah najis. Hal ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya dan dagingnya itu pula adalah dianggap najis — kerana tidak halal dimakan. Oleh itu, ia haram diminum kecuali susu manusia kerana sekalipun daging manusia haram dimakan tetapi susunya adalah bersih dan suci. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/40; 1/503 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 128.)

Selain itu, susu keldai jinak dimasukkan dalam jenis najis ‘aini sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Nawawi daripada ulama mazhab Syafi‘i bahawa haram memakan najis ‘aini seperti bangkai, susu keldai jinak, air kencing dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/36.)

Beliau juga ada menyebutkan dalam tempat yang lain bahawa al-Darimi menukilkan pada bahagian akhir dalam kitab Salam tiga pendapat mengenai hukum susu keldai jinak dan seumpamanya. Pendapat yang sahih ialah ia dianggap najis dan tidak boleh menjualnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/569.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa susu keldai jinak adalah haram untuk diminum kerana ia adalah najis. Berbeza dengan keldai liar, susunya adalah halal kerana ia halal dimakan.

Penjelasan lanjut mengenai hukum memakan daging keldai bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #420 Memakan Daging Keldai.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/420-memakan-daging-keldai/.