Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan ulat sagu, yang dikenali juga sebagai ulat mulong? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’”
(Surah al-An‘am: 145)
Begitu juga firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’”
( Surah Ma’idah: 4)
Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[1]
Definisi ulat sagu
Ulat sagu merupakan larva yang berasal daripada sejenis kumbang yang hidup di dalam batang sagu, pohon rumbia, pokok mulong atau pokok pantu yang reput. Ia biasanya berada dalam batang phon tersebut yang tua atau yang sudah tumbang dan membusuk. Ketika di bahagian dalam pohon yang membusuk, akan ada larva yang berasal daripada telur kumbang itu. Lalu larva itu nantinya akan berubah menjadi anak ulat dan tumbuh menjadi ulat dewasa. Bahagian pohon sagu itu dipenuhi dengan zat tepung yang menjadi makanan ulat sagu. Ulat sagu memiliki ciri tubuh berwarna putih dan kepala berwarna coklat. Tubuh ulat sagu tampak gemuk dan gemuk. Biasanya ukurannya mencapai tiga hingga empat centimeter. Ulat mulong atau sagu ini dikenali dengan pelbagai gelaran mengikut kaum di Sarawak. Kaum Melanau memanggilnya dengan gelaran Si’et, kaum Iban pula memanggilnya dengan nama Tinduh manakala ulat mulong digelar sebagai Sikot dalam kalangan masyarakat Bidayuh.[2]
Nama saintifik ulat ini ialah Rhynchophorus ferrugineus atau dikenali juga dengan nama red palm weevil.[3] Ia biasanya dimakan mentah setelah dibersihkan atau dimasak mengikut cara setempat. Masyarakat Kadazan Dusun menggoreng ulat ini sehingga garing dan dihidangkan dengan nasi panas mahupun dijadikan makanan cekut dalam upacara keramaian. Manakala Orang-orang Maluku dan Kamoro di Papua pula membakar ulat-ulat ini seperti sate.[4]
Menurut penelitian yang dilakukan oleh Nirmala IR, MSc, dan rakannya, ulat sagu mengandungi protein, karbohidrat, asid lemak omega 3, 6, dan 9, serta asid amino. Meskipun belum ada penelitian yang lebih mendalam mengenai manfaat ulat sagu, namun berdasarkan nutrisinya ada beberapa manfaat yang mungkin boleh didapatkan, antaranya:
- Membina otot. Hal ini kerana ulat sagu mengandungi protein yang tinggi. Protein adalah komponen penting yang berperanan dalam membina sekaligus memperbaiki sel dan jaringan tubuh, seperti tulang, otot, dan kulit.
- Mencegah pelbagai penyakit. Ulat sagu mengandungi pelbagai asid lemak baik, seperti asid oleik, omega 3, omega 6, dan omega 9. Kandungan asid lemak dipercayai dapat mengurangkan keradangan dalam badan, seterusnya mengurangkan risiko penyakit Alzheimer, kemurungan, asma, dan reumatik. Asid lemak juga digunakan secara meluas sebagai makanan tambahan untuk mengurangkan tahap trigliserida tinggi yang menyebabkan penyakit jantung.
- Meningkatkan mood dan prestasi sukan. Ulat sagu mengandungi pelbagai jenis asid amino, seperti isoleucine, leucine, histidine, dan phenylalanine. Asid amino ini membantu menghasilkan serotonin, bahan kimia otak yang boleh meningkatkan mood dan kitaran tidur anda. Selain itu, asid lemak ini juga boleh memulihkan otot yang rosak dengan lebih cepat dan mengurangkan kesakitan otot selepas bersenam.[5]
Hukum makan ulat sagu
Ulat sagu tergolong dalam jenis ulat. Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kami datangkan pendapat para ulama berkenaan hukum memakan ulat.
Pada asasnya, dalam mazhab Syafi‘i, hukum memakan ulat adalah diharamkan melainkan ulat yang berada dalam keju, cuka, kacang hijau, buah-buahan dan seumpamanya yang terdiri daripada makanan, yang mana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berkenaan kehalalan ulat ini iaitu pendapat pertama, ia adalah halal untuk dimakan. Pendapat kedua pula, ia adalah haram untuk dimakan. Manakala pendapat ketiga, ia halal dimakan bersama makanan yang ia lahir daripadanya, bukan secara terasing kerana haram memakannya secara terasing. ( Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/15.)
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan bahawa mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, dihalalkan untuk memakan ulat yang dilahirkan daripada makanan seperti cuka, keju dan buah-buahan, hanya jika ia dimakan secara bersama. Begitu juga hukumnya apabila ia mati — dalam makanan itu — yakni halal untuk dimakan mengikut pendapat yang kuat. Hal ini kerana kesukaran untuk mengasingkannya. Sebahagian ulama terkemudian menyandarkan hukum daging yang berulat dengan hukum buah-buahan — yang mengandungi ulat. Berdasarkan kepada ‘illah ini, maka jika ia mampu atau mudah untuk diasingkan seperti ulat yang berada dalam epal, maka haram untuk memakannya secara bersama. Ibn Syahbah berkata bahawa itulah pendapat yang zahir, yakni apabila tidak kesukaran untuk membezakannya.
Di samping itu, terkeluar daripada lafaz “مَعَهُ” (yakni memakan ulat secara bersama dengan makanan itu), bagi kes memakan ulat secara berasingan. Hal ini kerana hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya. Begitulah juga — yakni haram hukumnya — jika ulat itu diangkat ke tempat yang lain sebagaimana disebutkan oleh al-Bulqini, atau ulat itu pergi dengan sendiri ke tempat lain, kemudian ia kembali semula ke sarangnya (dalam buah itu) selepas ia dapat dipelihara daripadanya seperti mana yang dibahaskan oleh sebahagian ulama terkemudian. Pendapat kedua pula mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Manakala pendapat ketiga mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/99.)
Di samping itu, Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) juga ada menyatakan bahawa memakan ulat sagu (mulong) adalah haram dan dilarang dalam Islam kerana ia dianggap jijik. Dalam mengkategorikan sesuatu itu jijik fuqaha menentukannya berdasarkan uruf masyarakat setempat. Oleh kerana masyarakat Islam Malaysia mengkategorikan bahawa ulat adalah daripada haiwan yang menjijikkan (khabis) dan kotor termasuklah juga Ulat Mulong.[6]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ulat sagu (mulong) haram dimakan kerana ia dianggap jijik sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak, bertarikh: 20 November 2014.
Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 13 Februari 2022 bersamaan11 Rejab 1443H
[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.
[2] Lihat https://food.detik.com/info-kuliner/d-5230291/5-fakta-ulat-sagu-kuliner-ekstrem-yang-kaya-nutrisi. Lihat juga https://www.iloveborneo.my/cerita-menarik-dari-borneo/benarkah-makanan-eksotik-borneo-ulat-mulong-haram-dimakan/. Diakses pada 10 Februari 2022.
[3] Lihat https://hellosehat.com/sehat/informasi-kesehatan/manfaat-makan-ulat-sagu/. Diakses pada 10 Februari 2022.
[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ulat_rumbia. Diakses pada 10 Februari 2022.
[5] Lihat artikel yang ditulis oleh Aprinda Puji dan disemak oleh Dr. Yusra Firdaus. https://hellosehat.com/sehat/informasi-kesehatan/manfaat-makan-ulat-sagu/. Diakses pada 10 Februari 2022.
[6] Lihat https://muftinegeri.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=news&sub=news_view&nid=156. Diakses pada 10 Februari 2022.