Skip to content

S:471 Memakan Daging Arnab

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum daging arnab? Adakah ia tetap halal dimakan sekalipun ia memakan najisnya sendiri? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499.)

Definisi Arnab

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, arnab ialah sejenis binatang mengerip yang menyerupai kucing tetapi lebih panjang telinganya, kelinci, kucing belanda, Oryctolagus spp.[1] Manakala menurut Ensiklopedia Dunia pula, arnab ialah haiwan kecil yang berbulu lembut, bertelinga panjang dan mempunyai ekor pendek yang gebu. Arnab tidak berjalan atau berlari seperti haiwan berkaki empat yang lain. Arnab bergerak dengan meloncat-loncat menggunakan kaki belakang yang panjang dan lebih kuat daripada kaki hadapan. Arnab juga menggunakan kaki hadapan apabila bergerak. Haiwan ini mengimbangi diri pada kaki hadapannya seperti manusia mengimbangkan tangan apabila bermain lompat katak. Apabila dikejar musuh, arnab boleh meloncat sehingga 30 kilometer sejam. Ramai kanak-kanak memelihara arnab sebagai haiwan kesayangan dan banyak kedai menjual arnab jinak yang dipelihara untuk dijadikan haiwan kesayangan. Arnab tergolong dalam famili Leporidae. Terdapat pelbagai jenis spesies arnab, antaranya seperti Arnab Eropah, Arnab Pygmy, arnab paya, arnab gunung berapi, arnab Amami, arnab Bunyoro, arnab Angora dan lain-lain.

Arnab hidup di Afrika, Asia, Eropah dan Amerika Utara dan telah diperkenalkan ke merata dunia. Kebanyakan spesies arnab bersarang di tanah lapang dan prairi yang membolehkan anak arnab disembunyikan di dalam semak atau di celah-celah rumput tinggi. Arnab betina boleh melahirkan lima ekor anak beberapa kali setahun. Selama beribu-ribu tahun, manusia telah memburu arnab untuk mendapatkan daging dan bulunya. Pada masa kini, kebanyakan arnab daging dan arnab bulu diternak walaupun masih ada penggemar sukan menembak memburu arnab liar. Orang ramai boleh menikmati daging arnab yang dijual segar atau beku. Kulitnya digunakan untuk membuat kot kulit-bulu ataupun sebagai perhiasan kot kain dan topi. Kulit boleh dipotong dan diwarnakan untuk kelihatan seperti bulu mink, bulu beaver atau bulu haiwan lain yang lebih bernilai. Sejenis kain keras yang dikenali felt dibuat dengan mengadun bulu arnab dengan bulu haiwan lain.

Badan arnab liar diselaputi bulu tebal yang lembut dan berwarna keperang-perangan atau kekelabu-kelabuan. Walau bagaimanapun, bulu arnab peliharaan selalunya berwarna hitam, perang, kelabu, putih atau campuran warna-warna tersebut. Arnab liar dewasa membesar sehingga 20 hingga 35 sentimeter panjang dan 0.9 hingga 2.3 kilogram beratnya. Arnab peliharaan boleh membesar kira-kira 20 sentimeter lebih panjang dan menambah berat sehingga 2.3 kilogram lagi. Kebanyakan arnab betina lebih besar daripada arnab jantan. Arnab pernah dikelaskan sebagai rodensia (haiwan yang menggigit-gigit). Seperti beaver, tikus dan haiwan rodensia yang lain, arnab mempunyai gigi hadapan seperti pahat untuk menggigit-gigit. Walau bagaimanapun, berbeza tikus dan haiwan rodensia yang lain, arnab mempunyai sepasang gigi kecil di belakang gigi hadapan sebelah atas. Arnab kesayangan memakan bijirin seperti barli, oat dan gandum. Ada juga yang memberikan lobak, bit, turnip, klover yang dipotong segar atau rumput kepada arnab. Rumput kering juga boleh diberikan pada waktu malam bagi membantu penghadaman dan arnab menggigit batang rumput yang keras membantu mengasah gigi hadapannya yang tumbuh secara berterusan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 2/142-145.)

Selain itu, arnab juga akan memakan tahi mereka sebagai diet makanan.[2] Hal ini kerana sistem penghadaman arnab tidak dapat mengekstrak semua nutrien daripada makanan pada kali pertama ia dicerna. Semasa proses pencernaan, pelet lembut yang dipanggil cecotropes terbentuk. Ini mengandungi nutrien yang berharga, seperti protein dan serat. Arnab memakan cecotropes mereka untuk mengekstrak nutrien ini dengan mencernanya untuk kali kedua.[3]

Hukum memakan daging arnab

Daging arnab adalah halal untuk dimakan di sisi jumhur ulama.  Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tiada khilaf mengenai perkara ini. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/133, Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/11. )

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Anas R.A, beliau berkata:

أَنْفَجْنَا أَرْنَبًا وَنَحْنُ بِمَرِّ الظَّهْرَانِ، فَسَعَى القَوْمُ فَلَغِبُوا. فَأَخَذْتُهَا فَجِئْتُ بِهَا إِلَى أَبِي طَلْحَةَ. فَذَبَحَهَا فَبَعَثَ بِوَرِكَيْهَا - أَوْ قَالَ: بِفَخِذَيْهَا - إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبِلَهَا

Maksudnya:Kami telah mengejutkan seekor arnab ketika kami berada di Mar al-Zahran, lalu orang ramai mengejar (untuk menangkapnya sehinggalah) mereka keletihan. Lalu aku telah menangkapnya dan membawanya kepada Abu Talhah. Beliau pun menyembelihnya dan mengirimkan kedua-dua pangkal paha arnab tersebut, – atau (perawi berkata): Anas berkata: kedua-dua pahanya, – kepada Nabi SAW dan Baginda SAW telah menerimanya.

Riwayat al-Bukhari (5535); Muslim (1953)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, memakan arnab adalah halal di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, al-Syafi‘i dan Ahmad serta ulama keseluruhannya, melainkan apa yang dinukilkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As dan Ibn Abi Laila bahawa mereka berdua berpendapat hukumnya adalah makruh. Jumhur ulama berhujah dengan hadith ini bersama hadith-hadith lain yang semisal dengannya, dan tidak sabit sedikitpun hadith mengenai larangan daripada memakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/104-105.)

Selain itu, arnab juga merupakan haiwan yang dianggap baik-baik — yakni tidak jijik — tidak memiliki taring yang digunakan untuk memburu mangsanya sebagai makanan, dan tiada nas yang menunjukkan kepada pengharamannya. Semua sebab yang dinyatakan ini, menunjukkan bahawa ia adalah halal untuk dimakan. Tambahan pula, Sa‘ad bin Abu Waqqas telah memakannya. Begitu juga dalam kalangan ulama seperti Abu Sa‘id al-Khudri, ‘Ata’, Ibn al-Musayyib, al-Laith, Abu Thaur, dan Ibn al-Munzir turut memberi kelonggaran mengenainya — yakni dalam soal memakannya. ( Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/133.)

Hukum arnab yang memakan najisnya sendiri

Manakala mengenai persoalan ini pula, kami melihat ia berkaitan dengan hukum memakan haiwan Jallalah. Haiwan Jallalah ialah haiwan yang mana makanannya adalah najis atau seumpamanya yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336.)

Sebahagian ulama berpendapat haiwan itu dikategorikan sebagai al-Jallalah jika majoriti makanan yang dimakannya adalah najis, namun sekiranya majoriti makanannya adalah bersih dan bukan najis, ia tidak termasuk dalam kategori al-Jallalah. Manakala sebahagian ulama yang lain pula, tidak mensyaratkan banyak ataupun sedikit, tetapi dengan terzahirnya bau najis dan busuk atau sekiranya berubah struktur warna, rasa dan bau daging tersebut. Inilah pendapat yang dipegang dan disahihkan oleh Imam Nawawi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/447; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558; Mughni al-Muhtaj, 6/155; Fath al-Wahhab, 2/237; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28.)

Terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan al-Jallalah (dagingnya) dan susunya.”

Riwayat al-Tirmizi (1824); Abu Daud (3785)

Secara zahirnya, hadith di atas menunjukkan kepada tegahan Nabi SAW daripada memakan daging haiwan Jallalah dan minum susunya. Namun demikian, para ulama berbeza pendapat berkenaan makna larangan tersebut; adakah ia menunjukkan kepada haram ataupun makruh tanzih. Mengenai ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, iaitu:

Pendapat pertama, hukumnya adalah haram untuk makan daging dan minum susunya kerana ia telah menjadi najis. Ini merupakan pendapat Abu Ishaq al-Marwazi, al-Qaffal, Imam al-Ghazali dan al-Baghawi.

Pendapat kedua, hukumnya adalah makruh tanzih. Ini merupakan pendapat Imam Nawawi, majoriti ulama Iraq, dipersetujui oleh al-Ruyani dan selainnya daripada kalangan para ulama (yang muktamad). Imam al-Rafi‘i menyatakan bahawa pandangan ini dipersetujui (disahihkan) oleh ramai para ulama.

Akan tetapi sekiranya haiwan Jallalah dikuarantin terlebih dahulu selepas zahirnya bau najis tersebut, serta diberi makan makanan yang baik — yakni bukan najis — sehingga hilang bau tersebut, hukumnya tidak lagi menjadi makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28;  Mughni al-Muhtaj, 6/155; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syaf ‘i, 2/559; Raudah al-Talibin, 3/278.)

Hal ini juga selari dengan kaedah:

إِذَا زَالَتِ العَلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging arnab adalah halal dimakan dan tidak makruh memakannya sebagaimana pendapat jumhur ulama serta berdasarkan nas yang jelas menunjukkan kehalalannya.

Adapun mengenai soal ia memakan najisnya sendiri, jika perkara itu memberi kesan kepada dagingnya, maka hukumnya adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Lebih-lebih lagi, haiwan jallalah yang dagingnya berubah — disebabkan memakan najis — boleh kembali kepada asal dengan cara mengkuarantinnya dan memberinya makanan yang bersih dalam satu tempoh, sebelum menyembelih dan memakannya. Maka, ketika ini hukumnya tidak lagi menjadi makruh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=arnab. Diakses pada 14 Februari 2022.

[2] Lihat https://www.thepatriots.asia/kenapa-arnab-memakan-tahi/. Diakses pada 14 Februari 2022.

[3] Lihat https://www.rabbitcaretips.com/why-do-rabbits-eat-their-own-poop/. Diakses pada 14 Februari 2022.