Skip to content

S:499 Tidur Selepas Subuh

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum tidur selepas Subuh? Bagaimana pula hukumnya terhadap pekerja yang terpaksa bekerja di pada waktu malam sehingga waktu Subuh. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Keberkatan pada Waktu Pagi

Waktu pagi adalah waktu yang berkat dan penuh kebaikan. Waktu pagi telah didoakan secara khusus oleh Nabi SAW sebagai waktu yang berkat. Daripada Sakhr al-Ghamidi, bahawa Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah umatku di waktu pagi.”

Riwayat Abu Daud (2606), al-Tirmizi (1212), Ahmad (15481) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8833)

Ibn Battal berkata: Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa selain waktu pagi adalah tidak diberkati. Sesuatu yang dilakukan oleh Nabi SAW (pada waktu tertentu) adalah waktu yang berkat dan Baginda SAW adalah sebaik-baik uswah (suri teladan) bagi umatnya. Adapun Nabi SAW mengkhususkan waktu pagi dengan mendoakan keberkatan pada waktu tersebut berbanding waktu-waktu yang lain adalah kerana waktu pagi tersebut adalah waktu yang biasa digunakan manusia untuk memulakan aktiviti. Waktu tersebut adalah waktu yang bersemangat untuk memulakan aktiviti. Oleh itu, Nabi SAW mengkhususkan doa pada waktu tersebut supaya seluruh umatnya memperoleh keberkatan di dalamnya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 9/163)

Anjuran Menghidupkan Waktu Selepas Subuh dan Kelebihannya

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya apabila telah selesai melaksanakan solat Subuh berjemaah supaya duduk berzikir kepada Allah SWT sehinggalah matahari naik, kemudian mengerjakan solat sunat dua rakaat. Rasulullah SAW menyatakan pahala yang besar bagi sesiapa yang melaksanakan ibadah tersebut, Baginda SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Maksudnya: “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” 

Riwayat al-Tirmizi al-Tirmizi (586). Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.

Ibnu ‘Abbas menamakan solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktu tersebut sebagai solat Isyraq. Ia dinamakan dengan nama tersebut kerana ia didirikan selepas waktu syuruk iaitu waktu matahari sedang terbit. Namun begitu, walaupun solat Isyraq adalah solat yang dilakukan pada waktu solat Dhuha, terdapat beberapa perbezaan di antara solat Isyraq dan solat Dhuha. ( Lihat Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’, hlm. 58-59)

Dalam satu riwayat daripada Jabir bin Samurah, katanya:

كَثِيرًا كَانَ لاَ يَقُومُ مِنْ مُصَلاَّهُ الَّذِى يُصَلِّى فِيهِ الصُّبْحَ أَوِ الْغَدَاةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ قَامَ

Maksudnya: “Baginda Nabi SAW biasanya tidak beranjak daripada tempat duduknya setelah solat Subuh sehinggalah terbit matahari. Apabila matahari terbit, Baginda SAW berdiri (meninggalkan tempat solat).”

Riwayat Muslim (670)

Imam al-Nawawi berkata: “Dalam hadith ini, terdapat anjuran berzikir selepas Subuh dan meneruskan duduk di tempat solat jika tidak mempunyai keuzuran (halangan). Al-Qadhi menyebut bahawa inilah sunnah yang biasa dilakukan oleh salaf dan para ulama’. Mereka biasanya memanfaatkan waktu tersebut untuk berzikir dan berdoa sehinggalah terbitnya matahari. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/29)

Hukum Tidur Selepas Subuh

Tiada nas yang jelas menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh. Oleh itu, hukum tidur selepas subuh kekal harus kerana tiada dalil yang menghalangnya.

Meskipun tiada nas yang menghalang untuk tidur selepas subuh namun terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas Subuh. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ. ‏‏

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar pasukan tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan).”

Riwayat Abu Daud (2606)

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari. Hal ini boleh dilihat sepertimana hadis daripada Jabir bin Samurah RA seperti yang telah dijelaskan di atas, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الفَجْرَ قَعَدَ فِي مُصَلَّاهُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.”

Riwayat al-Tirmizi (585). Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.

Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Anas Bin Malik RA – yang juga kami telah nukilkan di atas –  bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ

Maksudnya: “Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah.”

Riwayat al-Tirmizi (586). Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.

Jelas melalui hadis-hadis di atas, Nabi SAW amat menitikberatkan mengenai pengurusan masa lebih-lebih lagi di awal pagi bagi seseorang Muslim. Ini dilihat dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dari segi berzikir mahupun keluar kerja untuk mencari rezeki dan disebabkan oleh itu juga para ulama’ amat menjaga waktu selepas subuh mereka agar dipenuhi dengan perkara yang berfaedah lagi berpahala.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan di dalam kitabnya Fath al-Bari yang mana telah disebutkan bahawa rezeki itu dibahagi-bahagikan selepas solat subuh dan amalan-amalan diangkat di penghujung waktu siang. Bagi siapa yang pada waktu tersebut dalam ketaatan, maka akan diberkati  rezeki dan amalannya. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/37)

Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad (4/222) pula menyebutkan bahawa tidur waktu subuh menghalang rezeki kerana pada waktu itu adalah waktu meminta padanya makhluk hidup akan rezeki dan ianya adalah waktu di mana dibahagi-bahagikan rezeki dan tidur pada waktu tersebut adalah dilarang kecuali berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan ataupun darurat. Kami juga dikhabarkan bahawa Buya Hamka juga tidur selepas subuh.

Setakat pengamatan kami juga, hadis-hadis yang menceritakan tentang larangan serta cemuhan bagi mereka yang tidur selepas subuh tidak terlepas dari kritikan sama ada terlalu lemah statusnya ataupun bertaraf palsu.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa tiada larangan melalui nas yang jelas mengenai pengharaman tidur selepas subuh. Oleh itu, tiada halangan bagi mereka yang ingin tidur selepas Subuh namun yang terbaiknya adalah dengan meninggalkannya berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh.

Pernah ditanyakan kepada Imam Malik mengenai tidur selepas solat subuh, maka jawab al-Imam Malik: “Aku tidak mengetahui akan pengharamannya. Disebutkan bahawa bumi mengeluarkan bunyi yang kuat dari tidurnya ulama’ pada waktu dhuha kerana takut mereka lalai pada waktu tersebut.” (Lihat al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, 1/198)

Makanya, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa tidur pada siangnya selepas Subuh kerana telah menjadi sebahagian dari tugasnya untuk bekerja pada waktu malam lalu berehat pada waktu paginya demi menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H