Skip to content

S:62 Sumpah Selain Nama Allah

Posted on:December 18, 2023 at 06:19 AM

Soalan

Assalamualaikum. Adakah bersumpah selain dengan nama Allah termasuk dalam syirik?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105).

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahiwallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213 dan Taudhih al-Ahkam, 7/105).

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Hukum Sumpah Selain Nama Allah

Dalam satu riwayat daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa beliau pernah mendengar seorang lelaki berkata: “Tidak, demi Ka’bah.” Ibn ‘Umar R.Anhuma pun berkata: “Jangan bersumpah dengan yang lain selain daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah dengan yang selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kafir atau syirik.”

Riwayat Abu Daud (3251), al-Tirmizi (1535) dan Ahmad (6072)

Al-Syaukani dalam Nail al-Autar (8/261) menjelaskan bahawa ungkapan ‘kafir’ atau ‘syirik’ dalam hadis di atas adalah bagi menjelaskan kesungguhan dari segi celaan dan teguran dalam hal bersumpah itu.

Punca larangan adalah kerana bersumpah dengan sesuatu membawa kepada mengagungkan perkara itu. Pengagungan pada hakikat yang sebenarnya hanyalah berhak diberikan kepada Allah SWT sahaja, zat atau sifat-Nya. Oleh itu, para ulama’ fiqh bersepakat bahawa bersumpah dengan nama sesuatu selain daripada Allah SWT tidak sah kerana tegahan membuktikan rosaknya perkara yang ditegah itu.

Para ulama’ berselisih pendapat, adakah bersumpah dengan selain daripada Allah haram atau makruh?

Ibn Hazm dalam al-Muhalla (10/43) memutuskan hukumnya adalah haram. Manakala kebanyakan ulama’ lain menghukumkannya sebagai makruh sahaja. Sebenarnya, ia memerlukan kepada perincian iaitu jika orang yang bersumpah dengan selain daripada Allah SWT meyakini benda yang dijadikan bahan bersumpah sebagaimana dia yakini terhadap Allah SWT, keyakinan sebegitu adalah kafir.

Walaupun begitu, kami tegaskan betapa sumpahan selain dengan nama Allah adalah ditegah dan dilarang sama sekali. Daripada Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَحْلِفُوا بِآبَائِكُمْ وَلاَ بِأُمَّهَاتِكُمْ وَلاَ بِالأَنْدَادِ وَلاَ تَحْلِفُوا إِلاَّ بِاللَّهِ وَلاَ تَحْلِفُوا بِاللَّهِ إِلاَّ وَأَنْتُمْ صَادِقُونَ

Maksudnya: “Jangan kamu bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu dan juga nama ibu-ibu kamu dan nenek moyang. Jangan bersumpah kecuali dengan nama Allah dan jangan bersumpah kecuali kamu bercakap benar.”

Riwayat Abu Daud (3248) dan al-Nasa’i (3769)

Syeikh Syams al-Haq Azim Abadi menjelaskan: Jangan kamu bersumpah dengan bapa-bapa kamu. Begitu juga anak-anak kamu. Maka sudah tentu lebih aula (utama) jangan bersumpah dengan berhala-berhala.

Dalam al-Nihayah menyebut: Perkataan ‘الأنداد’ adalah jama’ kepada ‘ند’ iaitu sesuatu yang menyamai dan setanding dalam semua perkara, dan menyalahinya. Maksud di sini mereka menjadikan tuhan-tuhan yang lain selain Allah.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam isu haram ini. Di sisi Mazhab Maliki, terdapat dua pendapat. Hal ini sebagaimana disebut oleh Ibn Daqiq al-‘Id dan yang masyhur di sisi mereka adalah makruh. Begitu juga perkara ini menjadi khilaf di sisi Mazhab Hanbali. Tetapi yang paling masyhur di sisi mereka adalah haram dan inilah yang dipegang oleh al-Zahiri.

Begitu juga Mazhab Syafie menyatakan hukumnya makruh sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Haramain. Tetapi, jika dia membesarkan dan mengagungkan apa yang disumpahnya itu, maka hukumnya adalah haram. Bahkan iktiqad seperti itu boleh membawa kepada kufur. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud****, 9/55).

Kesimpulan

Bersumpah dengan yang selain daripada Allah SWT adalah bid’ah yang tidak mengkufurkan. Aspek yang menjadikannya bid’ah ialah sumpah merupakan ibadat. Jika dilakukan bukan kerana Allah, bererti kita memasukkan ke dalam agama sesuatu yang tidak ada kena mengena dengannya. (Lihat al-Bid’ah al-Munkarah, oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili, hlm. 27).

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H