Soalan
Adakah dibolehkan untuk membayar hutang menggunakan hasil wang haram seperti kemenangan hasil judi?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 2/117; al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, hlm. 45).
Hutang adalah satu tanggungjawab untuk dibayar bagi setiap penghutang, namun matlamat untuk membayar hutang tidak menghalalkan perkara yang haram seperti mendapatkannya daripada sumber yang haram seperti mencuri, berjudi, merompak, menipu dan seumpamanya dengan tujuan untuk membayar hutang. Hal ini kerana punca yang haram tidak mungkin diberi kepada yang lain untuk dihalalkan atau juga akan diberi pahala dengan sebab tersebut. Seseorang Islam amat perlu melihat kepada punca dapatan rezekinya dan juga punca bagaimana ia dibelanjakannya. Hal ini amat penting untuk difahami oleh setiap orang Islam. Daripada Abu Barzah al-Aslami RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ
Maksudnya: “Sentiasalah dua kaki hamba pada hari kiamat berada di situ sehingga ditanya tentang umurnya, bagaimana digunakannya, ilmu apa yang dilakukannya, harta dari mana diperolehinya dan ke mana diinfakkannya dan tubuhnya dengan apa dilakukannya.”
Riwayat al-Tirmizi (2417). Beliau menyatakan hadith ini hasan sahih
Justeru pastikan rezeki yang kita perolehi daripada sumber yang halal begitu juga belanjalah kepada tempat yang halal dan diizinkan. Kita diajar supaya mencari rezeki dan memakan dari sumber yang halal. Hal ini berbetulan dengan sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟“.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”
Riwayat Muslim (1015)
Tayyib bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535).
Kami tegaskan bahawa hukum membayar hutang dengan wang yang datang daripada sumber yang haram, adalah haram walaupun dengan tujuan untuk membayar hutang. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Wallahua`lam.
Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan 7 Rabiaul Akhir 1443 H