Skip to content

S:29 Zakat Kepada Anak Saudara

Posted on:December 9, 2023 at 07:05 AM

SOALAN

Bolehkah saya membayar zakat pendapatan saya kepada anak saudara saya yang baru beberapa bulan melanjutkan pelajaran ke IPTA memandangkan saya dimaklumkan beliau memerlukan bantuan kewangan?

JAWAPAN

Penuntut ilmu termasuk dalam golongan asnaf fisabilillah. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda:

مَنْ خَرَجَ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka dia adalah fisabilillah sehingga dia kembali”

Riwayat al-Tarmizi (2647)

Secara asasnya, pembayar zakat tidak boleh membayar zakat kepada kelompok yang berada di bawah tanggungan atau nafkahnya. Namun begitu - sebagaimana yang dinukilkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji - pembayar zakat boleh memberikan zakat kepada saudara mara yang bukan di bawah tanggungannya, seperti adik-beradik lelaki atau perempuan, bapa dan ibu saudara pihak bapa, bapa dan ibu saudara pihak ibu, anak-anak mereka dan lain-lain sekiranya mereka fakir, miskin dan golongan yang berhak menerima zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhajī, 2/42).

Hukum memberi zakat kepada kaum kerabat pernah ditanya pada tahun 1982 kepada Syeikh ‘Abdullatif Hamza, mantan Mufti Republik Arab Mesir. Beliau menjelaskan bahawa kaum keluarga yang berada di bawah tanggungan nafkahnya tidak boleh diberikan zakat. Tetapi jika mereka tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya, dibolehkan untuk diberikan zakat. (Lihat a****l-Fatāwā al-Islāmiyyah, 1/164).

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir R.A, Nabi SAW telah bersabda:

‏الصَّدَقَة عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةْ، وَعَلَى ذِي الْرحم ثنتان‏:‏ صَدَقَةْ وَصِلَةْ

Maksudnya: “Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan silaturrahim.”

Riwayat al-Nasa’i (2582) dan Ibn Majah (1844)

Justeru, kami berpandangan bahawa harus dan dibolehkan untuk memberikan zakat kepada anak saudara atau ahli keluarga yang memerlukan selagi mana tidak berada di bawah tanggungannya. Hal ini kerana, membantu ahli keluarga sendiri adalah lebih afdhal dan diutamakan berbanding yang lain.